Tujuh pesakit bukan Covid-19 telah dirawat di Hospital Medan Kapit sejak 10 Mei

Kelihatan Jenderal Tan Sri Affendi Buang (kanan) ketika melawat Hospital Medan di Dewan Masyarakat Melayu Kapit hari ini (16 Mei 2021).

Nota pengarang: Butiran yang tidak tepat dalam versi artikel sebelumnya telah diperbetulkan. Sebarang kesulitan amat dikesali.

KUCHING, 16 Mei: Seramai tujuh orang pesakit luar yang tidak disahkan posiif Covid-19 telah dirawat di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kapit sejak ia mula beroperasi 10 Mei lepas.

Hospital tersebut yang kedua seumpamanya dioperasikan ATM selepas yang hospital medan sepertinya yang pertama dioperasikan di Tawau, Sabah tahun lalu.


Panglima ATM Jenderal Tan Sri Affendi Buang berkata, pengoperasian hospital seumpama itu merupakan salah satu kerjasama yang dilakukan ATM dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gelombang ketiga penularan Covid-19.

“Kerjasama ini akan dipertingkatkan pada sebilang masa dan ini juga merupakan komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi satu kenyataan selepas melakukan lawatan ke hospital medan itu di Dewan Masyarakat Melayu Kapit hari ini.

Beliau berkata, hospital terbabit diatur gerak dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit yang berperanan menyediakan rawatan kepada pesakit luar selain daripada kes-kes positif Covid-19 yang dikesan di daerah Kapit.

Katanya, hospital berkapasiti 40 buah katil itu turut dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, X-ray dan bilik rawatan kecemasan.

“Melalui kemudahan yang disediakan ini, ia akan membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes Covid-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes yang lebih serius.

“Pengoperasian Hospital Medan ini juga adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan antara rawatan yang dilaksanakan termasuklah perkhidmatan rawatan pesakit dalam bagi tempoh 12 jam sehari mengikut shif bagi pertugas klinik dan perkhidmatan bahagian pentadbiran serta sokongan iaitu dari jam 7 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Affendi berkata, pada ketika ini kes pembedahan masih belum lagi dapat dilaksanakan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, keupayaan hospital tersebut boleh dipertingkatkan dengan perkhidmatan dewan bedah serta unit rawatan rapi (ICU) jika terdapat keperluan semasa.

Jelasnya, kehingga kini, enam pegawai ditempatkan di Hospital Medan berkenaan dengan diketuai Lt Kolonel Dr Saiful Anuar Ju@Ju Ahmad yang bertindak sebagai komander hospital medan terbabit.

“Jumlah pegawai ini adalah terdiri daripada tiga Pegawai Perubatan, satu Pegawai Tugas Khas, satu Pegawai Tadbir serta 53 anggota terdiri daripada 32 paramedik dan 21 anggota perkhidmatan sokongan, sementara KKM terdiri daripada 10 jururawat dan enam anggota perkhidmatan sokongan.

“Keseluruhannya, ATM dan KKM menempatkan petugas seramai enam pegawai dan 69 anggota atau staf di hospital medan berkenaan,” katanya. — DayakDaily