ATM komited bantu putuskan rantaian Covid-19

Anggota ATM membantu pihak PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya di kawasan yang diisytihar sebagai Zon Merah Jangkitan Covid-19 di Mukim Klang, Selangor

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi keselamatan dan penguatkuasaan serta pihak berkuasa tempatan bagi menangani serta memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata seramai 1,140 anggota terdiri daripada tentera darat, tentera laut dan tentera sudah diaturgerak membantu pihak berkuasa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB).

“Anggota-anggota ini terlibat dengan penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) serta meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan ‘concertina wire’ di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi sepertimana yang dilaksanakan di Kunak dan Semporna, Sabah.

“Ini juga termasuk pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan dalam membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP sepertimana yang telah ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aturgerak bagi anggota terbabit akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan di kawasan terlibat dengan arahan PKPD dan PKPDB yang berstatus sebagai kawasan merah seperti di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu serta PKPB Mukim Klang.

“Sehingga 9 Oktober 2020, sebagai contoh Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan Zon Merah di Mukim Klang, Selangor.

“Tindakan  sama juga dilaksanakan oleh ATM melalui Ops Benteng di pantai timur Sabah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran,” katanya.

Menurut Affendi, Kor Kesihatan Diraja turut bekerjasama dengan KKM dalam menyediakan Penasihat Teknikal di Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, pakar perubatan, pergigian serta paramedik tentera, perkhidmatan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), perkhidmatan nyah kuman, aturgerak aset perubatan medan seperti Pos Rawatan dan Hospital Medan bagi menyokong pengoperasian KKM dalam menangani wabak Covid-19.

“Pada masa yang sama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut melaksanakan penerbangan khas untuk membawa peralatan perubatan, PPE, sampel RT dengan menggunakan pesawat angkut TUDM jenis A400M dari No 22 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang,” katanya.

Kata Affendi, penerbangan terbabit dilaksanakan menerusi kerjasama ATM dengan KKM dilaksanakan bagi membawa bantuan barangan serta kelengkapan perubatan terus ke Sabah. –DayakDaily