Tampar adik, seorang pemuda ditahan pihak polis

Suspek (tengah) ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Oleh: Brad Rantayy

MIRI, 25 Mac: Tindakan seorang lelaki memukul adiknya minggu lalu membawa padah, apabila dia ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Suspek berusia 24 tahun itu ditahan kerana dipercayai menampar muka adik lelakinya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Pujut-Piasau.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan susulan menerima laporan daripada mangsa yang berusia 16 tahun berhubung kejadian.

Dalam kejadian pada malam Sabtu itu, sekitar jam 7.30 malam, semasa berlaku pertengkaran, suspek disyaki telah menampar adiknya hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian muka mangsa.

Tangkapan dilakukan kurang 48 jam selepas pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. ― DayakDaily