Polis: Video lelaki dipukul dan diacukan senapang merupakan kes lama, suspek terlibat telah dituduh di mahkamah

Tangkap layar dari video yang tular di media sosial.

KUCHING, 5 Okt: Video tular memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki merupakan kes lama dan suspek telah dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki yang dipukul dalam video tersebut merupakan suspek kes kecurian besi di sebuah kedai di Jalan Stephen Yong pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, suspek ditahan oleh orang awam dengan bantuan seorang pengawal keselamatan.


“Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kertas siasatan yang lengkap telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya.

“Suspek terlibat telah dituduh pada 1 September atas kesalahan kes curi seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan senjata berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zainal mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian.

“Jangan buat spekulasi tanpa sebarang maklumat yang disahkan terlebih dahulu kerana boleh menimbulkan panik dan kekeliruan pada orang ramai,” katanya. — DayakDaily