Tambahan 369 tapak telekomunikasi 5G beroperasi akhir tahun 2023 — menteri utiliti

Datuk Julaihi Narawi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Mei: Tambahan sebanyak 369 buah tapak telekomunikasi 5G akan beroperasi di negeri ini menjelang akhir tahun 2023.

Menurut Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, setakat ini sebanyak 218 buah tapak telekomunikasi 5G di seluruh Sarawak telah beroperasi.

“Ia termasuklah di Bahagian Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Julaihi, 587 buah tapak telekomunikasi 5G telah diperuntukkan untuk Sarawak bagi pelaksanaan dari tahun 2022 sehingga 2023.

Pembinaan infrastruktur 5G di seluruh Malaysia dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 7,000 buah menara telekomunikasi diperlukan bagi mencapai liputan penuh di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2030.

Setakat ini, katanya, sebanyak 3,708 buah menara telekomunikasi iaitu 52.9 peratus dan liputan telekomunikasi 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak setakat ini adalah 61.6 peratus.

Menerusi program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran) ujar Julaihi, sebanyak 600 buah menara telekomunikasi 4G baharu dibina di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (Smart).

“Setakat ini, sebanyak 70 buah menara Smart baharu telah beroperasi.

“Sebagai tambahan, 55 buah menara lagi dijangka akan beroperasi sebelum sambutan Hari Gawai yang akan datang, menjadikan jumlah menara Smart beroperasi sebanyak 125 buah menara.

“Baki 475 buah menara lagi dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga suku pertama tahun 2024,” kata Julaihi. — DayakDaily