Taktik menjatuhkan pemimpin menggunakan video lucah disifatkan sangat kotor, jijik dan terdesak

Dr Awang Azman Awang Pawi

Oleh Peter Sibon

KUCHING, June 13: Taktik menjatuhkan pemimpin menggunakan video lucah yang sedang hangat melanda negara sekarang ini yang melibatkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan sebagai sangat kotor, jijik dan terdesak.

Menurut penganalisa politik dari Universiti Malaya Professor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, perkara seperti ini mengingatkan tentang cara yang hampir sama digunakan untuk menjatuhkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dua dekad lalu.


“Cuma kali ini berbeza kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih ‘favour’ kepada Datuk Seri Azmin Ali dalam hal ini. (Datuk Seri) Azmin (Ali) bertuah dapat sokongan penuh daripada Dr Mahathir dan berbeza dengan nasib (Datuk Seri) Anwar dahulu,” kata Dr Awang Azman kepada DayakDaily disini hari ini.

Bagaimana pun, beliau memberi amaran bahawa isu seperti ini sudah pasti akan mendatangkan kesan kepada Pakatan Harapan (PH) dan imej PKR kerana politik kotor mengaibkan ini mampu memberikan persepsi buruk terhadap kredibiliti Azmin.

“Ini kerana orang Melayu konservatif masih melihat liwat sebagai ‘taboo’ dan menjijikkan. Dalam hal ini, orang Melayu sukar percaya apabila ‘money trail 1MDB’ jelas dipaparkan dalam dokumen bukti dipaparkan media antarabangsa. Namun mudah percaya akan video yang belum tentu benar atau tulen.

“Walaupun taktik sebegini dilihat seperti sudah kurang dipercayai rakyat jika dibandingkan dengan situasi Datuk Seri Anwar Ibrahim (dahulu). Ini kerana kesedaran berita palsu, fitnah dan propaganda semakin banyak dan teknologi semakin canggih serta kecelikan politik semakin tinggi,” jelas beliau.

Dr Awang Azman menambah, ‘gutter politics’ yang ternyata tak bermoral dan mengaibkan sebegini masih digunakan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin kerana ia mampu memberikan kesan kepada masyarakat ke arah menjadi keliru, menjadikan mereka tidak dapat membeza di antara benar dan palsu.

“Inilah yang cepat menimbulkan persepsi politik yang lebih hidup daripada realiti sebenar. Kejutan oleh ‘gutter politics’ sebegini juga akan menyebabkan sokongan dan kepercayaan rakyat atau penyokongnya akan terhakis. Dan rakyat akan menilai, menolak atau mengangkat serta sanggup turun ke jalan raya sekiranya pemimpin tersebut benar-benar disayangi oleh rakyat dan pengikutnya,” jelas beliau.

Justeru itu, Dr Awang Azman berkata, hal ini perlu dilihat bukan sekadar dari segi politik, tetapi mungkin juga dari faktor ekonomi atau perniagaan sehingga pemfitnah sanggup membawa ‘gutter politics’ ini ke muka umum.

“Jadi, pelbagaian teori dan andaian dibuat. Kita tunggu pihak polis dapat menyelesaikan perkara ini dengan sebenar-benarnya,” kata beliau.

Begitupun, beliau berkata, Umno dan Pas menjauhkan diri daripada isu yang sedang hangat meniup seluruh pelusuk negara kerana menganggap ianya hanya masalah dalaman PH.

“Lagipun, mereka tidak mahu dituduh mengambil kesempatan politik jijik ini yang ditolak oleh Umno Baru dan Pas,” tambah beliau. — DayakDaily