Lelaki warga emas yang hilang ditemui mati

Kelihatan mangsa ditemui mati oleh pasukan SAR.

Oleh Dean Adam

BETONG, Jun 13: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas ditemui mati di kawasan kebun getah di Rumah Panjang Anji, Mupuh Baroh Spak di sini hari ini.

Mangsa, Jam Jayan, 63, dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.27 petang.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 4 kilometer dari pos kawalan bomba.

Katanya, mayat lelaki berkenaan kemudian dibawa ke pos kawalan bomba untuk tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi SAR tamat pada pukul 4.10 petang selepas mayat mangsa dibawa ke hospital oleh pihak polis,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumah panjang pada Jun 8 lepas.

Bagaimanapun, pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi pihak polis.

Berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang hilang dikatakan mempunyai kurang daya ingatan.

Hasil maklumat daripada adik mangsa, semasa kejadian lelaki berkenaan dikatakan telah menggunakan pintu belakang rumah untuk keluar kerana pintu hadapan dikunci dari dalam dan pintu belakang tidak berkunci. ā€” DayakDaily