SK Sungai Buloh, Selangau dilanda banjir

Anggota APM memantau keadaan banjir di SK Sungai Buloh, Selangau.

Oleh Dean Adam

SELANGAU, Jun 13: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh di sini dilanda banjir, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, susulan trend air banjir semakin meningkat sesi persekolahan diarahkan ditangguhkan pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, banjir tersebut telah menjejaskan seramai 148 orang murid dan 21 orang guru termasuk kakitangan sokongan sekolah berkenaan.

“Tinjauan ke lokasi mendapati kawasan sekolah telah dinaiki air dan menjejas beberapa bangunan sekolah di kawasan yang rendah.

“Sekolah tidak beroperasi dan murid-murid telah diarahkan balik berikutan paras air semakin naik di kawasan sekolah tersebut,” kata JPBNS di sini hari ini.

JPBNS menambah, kawasan sekolah rendah tersebut telah dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter.

“Bagaimanapun, setakat ini keadaan di lokasi masih dalam keadaan terkawal,” ujar JPBNS. — DayakDaily