Tadbir urus masjid dan surau dengan penuh amanah, kata Abang Johari

Abang Johari(dua dari kiri) secara simbolik merasmikan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid Dan Surau Negeri Sarawak 2021. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas)

KUCHING, 10 Nov: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan mereka yang memikul tanggungjawab menguruskan masjid dan surau agar melaksanakannya dengan penuh amanah.

Katanya, ini adalah kerana masyarakat Islam memberi tanggungjawab kepada mereka agar masjid dan surau ditadbir urus dengan baik.

“Perkataan kunci ialah amanah dan ia mesti ditadbir urus dengan baik. Dari sudut kebersihan masjid mestilah bersih supaya orang Islam dapat menunaikan solat dengan selesa.


“Kedua, adalah menjaga kewangan yang ada di dalam masjid dan surau, uruskan dengan baik sedekah orang pada setiap hari Jumaat dan dijaga untuk akaun masjid.

“Ketiga, ummah kita pula adalah ummah yang bertanggungjawab. Inilah cara kita mentadbir urus masjid dan surau kita,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Seminar Integriti Kepimpinan Masjid Dan Surau Negeri Sarawak 2021 di Dewan Kompleks Islam Sibu hari ini.

Dengan nilai amanah dalam pengurusan masjid dan surau, tambah Abang Johari, ia seterusnya dapat dipraktis dalam pengurusan keluarga.

Katanya, seterusnya ia dipraktis dalam tadbir urus masyarakat dan negeri dengan penuh tanggungjawab.

Terdahulu Menteri Integriti Dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip dalam ucapan aluannya berkata seminar pada kali ini mensasarkan tiga objektif utama.

“Pertama, membudaya integriti dan tadbir urus baik dalam pengurusan masjid dan surau.

“Kedua, meningkatkan kefahaman dan kemahiran mengenai pengurusan masjid dan surau secara cekap dan berkesan dan ketiga menjadikan masjid dan surau sebagai institusi pembangunan ummah,” kata Talib.

Dalam pada itu beliau berkata terdapat tiga buah masjid di Bahagian Sibu yang telah mendapat penarafan 5-bintang iaitu Masjid Al Muhajirin, Kampung Salim, Masjid Darul Amilin, Taman Permai dan Masjid An Nur.

Ketiga-tiga masjid ini mendapat penarafan 5-bintang berdasarkan pengurusan baik dari sudut pentadbiran, pengurusan kewangan, keselamatan, kebersihan dan keceriaan.

Penganjuran seminar pada kali ini dilaksanakan secara ‘hybrid’ dan penyertaan terdiri daripada kalangan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, Guru-guru KAFA dan NGO-NGO Islam dari sekitar Sibu.

Ia diadakan secara bersemuka seramai 300 orang dan 2,000 orang peserta hadir secara maya. — DayakDaily