Tabung Harapan Malaysia merekodkan sumbangan berjumlah RM202.7 juta

Lim Guan Eng in Parliament. - File photo
Advertisement

KUCHING, Feb 7: Tabung Harapan Malaysia (THM) menerima sumbangan dari rakyat keseluruhannya berjumlah RM202.7 juta sehingga hari terakhirnya Januari 14 lepas.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan perkara tersebut dan menjelaskan sebelum ini kerajaan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada Januari 2, 2019 yang lalu telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemberian sumbangan selama dua minggu lagi iaitu yang telah berakhir pada Januari 14, 2019.

“Sehubungan itu, baki akhir setakat Januari 14, 2019 adalah berjumlah RM202,716,775.10. Pihak Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara,” menurutnya dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) hari ini.

Advertisement

Lim juga mengumumkan sumbangan yang dibuat selepas tempoh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan akan dipulangkan semula kepada penyumbang.

Manakala jumlah sumbangan RM202.7 juta itu akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan persekutuan.

“Bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan wang THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed),” katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan kepada THM.

Menurutnya, sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanahair yang dicintai.

Selain itu, ia memberikan semangat kepada mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi kerajaan persekutuan. — DayakDaily

Advertisement