Lelaki hilang ditemui selamat

Anggota bomba bercakap dengan mangsa yang ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

DALAT, Feb 7: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemui selamat di Kampung Brunai di sini hari ini.

Mangsa, Nada Sepayu, 48, telah ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung serta ahli keluarga mangsa.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebelum itu komander operasi mencari dan menyelamat menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa.

Bagaimanapun katanya, mangsa berjaya dijumpai selamat tidak jauh dari perahu yang ditinggalkannya.

“Semasa ditemui mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun hanya dalam keadaan keletihan.

“Mangsa seterusnya dihantar balik ke rumah selepas mangsa diberi makanan dan minuman,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.59 petang. — DayakDaily