Syarikat swasta tempatan dipelawa bekerjasama memberi latihan kemahiran, pekerjaan kepada banduan

Abdul Kadir (dua dari kiri) menyampaikan sijil kemahiran kepada penghuni Sekolah Henry Gurney pada Majlis Penyampaian dan Penutupan Kursus Asas Pembuatan Geriji Besi dan Kursus Asas Pemasangan dan Penyelengaraan Penyaman Udara bagi Penghuni Sekolah Henry Gurney dan Banduan Penjara Puncak Borneo di Auditorium Sri Sarawak, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak.

KUCHING, Dis 11: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mempelawa syarikat swasta di negeri ini yang memerlukan pekerja mahir untuk bekerjasama memberikan latihan kemahiran kepada banduan penjara dan seterusnya syarikat mengambil mereka sebagai pekerja mahir setelah dibebaskan.

Pengarah Pengurusan Banduan Ibupejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Abdul Kadir Rais berkata demikian berikutan kerjasama itu dengan syarikat swasta sudah mula dilaksanakan penjara di Semenanjung dan pihaknya mahu memperluaskannya ke penjara di negeri ini.

“Tetapi di Sarawak ini belum ada lagi (kerjasama dengan syarikat swasta) dan kita (JPM) akan cuba mengembangkan (kerjasama ini) ke seluruh Malaysia dan menyeru semua pengarah penjara negeri berusaha ke arah ini. Saya yakin pasukan penjara di Sarawak akan mampu mengadakannya,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian dan Penutupan Kursus Asas Pembuatan Geriji Besi dan Kursus Asas Pemasangan dan Penyelengaraan Penyaman Udara bagi Penghuni Sekolah Henry Gurney dan Banduan Penjara Puncak Borneo di Auditorium Sri Sarawak, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, di sini, hari ini.


Keseluruhannya seramai 40 penghuni Sekolah Henry Gurney dan banduan Penjara Puncak Borneo menerima sijil kemahiran tersebut dengan majlis itu juga dihadiri Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara, Ajidin Salleh dan Pengarah Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan, Zurina Md Amin.

Abdul Kadir berkata di Semenanjung ada dua syarikat bekerjasama dengan JPM bagi memberikan latihan kemahiran kepada banduan di Penjara Kajang, Selangor dimana satu syarikat melatih banduan sebagai pemandu kenderaan berlesen manakala satu lagi syarikat melatih banduan wanita dalam bidang spa serta kemudian mengambil banduan itu sebagai pekerja selepas dibebaskan.

“saya berharap semoga kerjasama ini juga dapat dilaksanakan di institusi penjara di Sarawak samada di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri atau Limbang dan saya percaya kepimpinan pasukan kita di negeri ini dan dapat realisikannya pada 2019,” katanya.

Beliau berkata ini kerana penjara di seluruh negara termasuk di Sarawak telah mula mengadakan latihan kemahiran dalam pelbagai kemahiran termasuk kimpalan, jahitan, makanan sejuk beku dan banyak lagi dan memberikan sijilnya kepada banduan sejak 2012.

“Sejak 2012 sehingga 2017, keseluruhanya seramai 12,979 banduan di penjara seluruh negara telah mendapat sijil kemahiran manakala tahun ini seramai 1,945 banduan terbabit berjaya mendapat sijil itu,” katanya, sambil menambah sijil itu akan dapat membantu banduan mendapat pekerjaan setelah dibebaskan serta memberi peluang memulakan hidup baru.

Bagaimanapun, Abdul Kadir tidak memberi butiran mengenai jumlah banduan di seluruh negara yang sudah dibebaskan dan mendapat pekerjaan mengunakan sijil kemahiran diperolehi ketika di penjara, disamping pihaknya tiada kuasa perundangan memantau banduan yang sudah dibebaskan dari penjara. — DayakDaily