Syarikat skim penipuan pelaburan hartanah diburu polis

Hishamuddin ketika ditemui pemberita di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Sept: Syarikat dan agen yang menjadi dalang skim penipuan pelaburan hartanah di Sarawak akan diburu pihak berkuasa.

Menurut Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Dato Hishamuddin Hashim, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.


Katanya, Mohd Azman telah memberi jaminan bahawa siasatan terperinci akan dilakukan bagi menyelesaikan kes tersebut.

“Setakat ini lebih 80 aduan berdaftar dari Sarawak telah diterima oleh MHO berhubung skim penipuan pelaburan hartanah.

“Semua pengadu ini telah membuat laporan polis dan mahu kes disiasat dengan teliti,” katanya kepada pemberita selesai mengadakan pertemuan dengan Mohd Azman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badruddin hari ini.

Pada pertemuan itu, Hishamuddin telah membuat serahan penyataan tambahan di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan surat mohon perhatian dan tindakan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Lebih 50 mangsa penipuan turut serta bersama Hishamuddin bagi menyerahkan penyataan tambahan dan surat mohon perhatian.

Tambah Hishamuddin, syarikat yang menjalankan penipuan tersebut berpengkalan di Sibu dan telah beroperasi sejak 2020.

“Modes operandi syarikat, pertama program pembinaan rumah di atas tanah sendiri.

“Kedua menawarkan skim pelaburan Hartanah, maksudnya siapa yang tiada tanah boleh membuat pembayaran dan syarikat akan cari tanah dan buat rumah.

“Ketiga syarikat kutip wang dan masukan di dalam skim pelaburan hartanah dan bayar dividend.

“Janji tinggal janji, projek tak ke mana rumah tak ke mana, akhirnya mereka ditipu,” katanya.

Menurut Hishamuddin lagi, syarikat dan agen penipuan tersebut mensasarkan masyarakat pedalaman yang miskin, penerima wang caruman KWSP dan warga emas.

Kebanyakan mangsa mengalami kerugian sekitar RM30, 000 hingga RM150, 000.

Berdasarkan data MHO katanya, lebih 500 kes penipuan pelaburan hartanah dengan melibatkan kerugian RM500 juta telah direkodkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, Sarawak mencatatkan kes terbanyak,” kata Hishamuddin. — DayakDaily

Antara mangsa yang hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badruddin.