S’wak tambah infrastruktur di kawasan Batang Ai, hadapi impak ekonomi pemindahan ibu kota Indonesia

Abang Johari (duduk dua dari kanan) pada sesi taklimat di CIQ Lubok Antu.

Oleh Chris Bishop

LUBOK ANTU, 30 Mac: Kerajaan negeri akan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan Batang Ai sebagai persediaan menghadapi kesan aktiviti ekonomi berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia perlu dilaksanakan agar dapat menyediakan peluang bagi ekonomi untuk lebih membangun.


“Kita mesti berfikir panjang kerana rakan kita (Indonesia) akan menempatkan ibu negaranya di sebelah.

“Ini bermakna pembangunan yang dilaksanakan di sebelah sana (Kalimantan) akan membawa limpahan kepada kita di sini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Merarau di Dewan Sukan Lubok Antu selesai Lawatan Kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lubok Antu di sini, hari ini.

Tambah beliau, potensi membangunkan ekonomi di kawasan Lubok Antu adalah cerah berikutan peningkatan laluan dan perdagangan antara rakan perniagaan dari Kalimantan-Sarawak di Badau.

“Ketika saya menjadi ketua menteri, saya telah meluluskan banyak projek jalan di kawasan Batang Ai dan ini tidak berhenti di sini. Kita akan terus membangunkan infrastruktur jalan di sini.

“Saya nampak bahawa ada peningkatan keluaran simen dan alat-alat pembinaan melalui Lubok Antu. Oleh itu kita akan menyediakan kemudahan yang sepatutnya untuk membangunkan kawasan ini,” ujar beliau.

Jelas Abang Johari, barangan dan ekspot dari Lubok Antu harus dapat dihantar ke pelabuhan dan satu sistem pengangkutan yang sesuai harus difikirkan.

Katanya lagi, data dan maklumat berhubung kawasan Batang Ai akan dikaji untuk merangka perancangan pembangunan selain dimasukkan di dalam dasar Strategi Ekonomi Pasca Covid Sarawak.

“Dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo, sistem telekomunikasi di kawasan ini akan dipertingkatkan dan ini akan memberi peluang untuk ekonomi membangun,” ujar Abang Johari.

Semasa lawatan kerja tersebut, Abang Johari turut mendengar taklimat berhubung CIQ Lubok Antu, Kastam dan Ops Benteng oleh Pasukan Gerak Am (PGA) serta melawat Tebingan Lubok Antu.

Selain itu, beliau turut meluluskan beberapa projek termasuk pembinaan jambatan menghubungkan tebingan ke kampung di seberang sungai dan projek lampu jalan sepanjang 7km dari Pekan Lubok Antru ke CIQ Lubok Antu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan yang juga Adun Batang Ai Datuk Malcolm Mussen dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. — DayakDaily