S’wak mencatat 11,442 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah tahun 2020

Francis Harden (tengah) ketika sidang media Laporan bulanan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) di kuching hari ini.

Sarawak rekodkan 11,442 tangkapan berkaitan penyalahgunaan Dadah sepanjang tahun 2020

KUCHING, 13 Jan: Sarawak merekodkan sebanyak 11,442 tangkapan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans sepanjang tahun lalu.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, jumlah tangkapan tersebut adalah hasil daripada 6,892 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, Daerah Kuching merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 3,679 tangkapan (32.15 peratus).

“Ini diikuti oleh Daerah Miri dengan 1,198 tangkapan (10.47 peratus), Daerah Bintulu dengan 1,060 tangkapan (9.26 peratus), Daerah Sibu dengan 922 tangkapan (8.06 peratus)dan Daerah Samarahan dengan 606 tangkapan (5.30 peratus ),”katanya pada sidang media Laporan bulanan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 92.89 peratus atau sebanyak 10,628 tangkapan yang direkodkan sepanjang tahun lalu melibatkan suspek lelaki manakala suspek perempuan adalah sebanyak 7.11 peratus atau 814 orang.

Katanya, golongan remaja dan belia dalam lingkungan umur 19 hingga 29 tahun merupakan golongan yang paling ramai didapati terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan Subsatance sepanjang tahun lalu.

“Golongan dalam lingkungan ini merekodkan jumlah tangkapan sebanyak 5,673 tangkapan atau 49.58 peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan yang dilaksanakan tahun lalu.

“Bagi golongan belia yang berumur 30 hingga 40 tahun, sebanyak 3,860 tangkapan (33.74 peratus) direkodkan sepanjang tahun lalu,”katanya.

Harden berkata sebanyak 5.34 peratus atau 611 tangkapan yang dilakukan pada tahun lalu adalah melibatkan golongan remaja dibawah un
Mur 18 tahun manakala baki 11.34 peratus (1,298 tangkap) lagi melibatkan golongan berumur 41 tahun ke atas.

Katanya, tahun lalu juga menyaksikan seramai 945 orang banduan di negeri ini telah dikenakan hukuman penjara atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan subsatnce.

Jumlah itu ujarnya mencatatkan penurunan sebanyak 25.94 peratus berbanding tempoh sama tahun 2019 yang merekodkan sebanyak 1,276 orang dikenakan hukuman penjara.

“Di Sekolah Henry Gurney, 21 orang penghuni di Sarawak dipenjarakan kerana pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance sepanjang tahun 2020.

” Jumlah ini adalah penurunan sebanyak 16 peratus berbanding dengan tahun 2019 (25 orang),”katanya.

Tambah Harden, Secara dasarnya, 6,892 operasi penguatkuasaan sepanjang tahun 2020 di Sarawak mampu menyekat sebanyak 589,924 kali penggunaan dadah dan subsatance terlarang di negeri ini.

Ia secara tidak langsung turut menyelamatkan 147,480 individu bagi tempoh setahun daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan subtance terlarang terbabit. – DayakDaily