LHDNM laksana pemusatan dan pemencaran fail pembayar cukai mulai 1 Januari

File photo for illustration purposes

KUCHING, 13 JAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mulai 1 Januari 2021 telah melaksanakan pemusatan dan pemencaran fail pembayar cukai bagi kategori tertentu.

LHDNM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan dasar kerajaan berhubung layanan cukai bagi perusahaan kecil dan sederhana dan sebagai memenuhi keperluan Garis Panduan Pindahan Harga 2012.

“Ia juga dilakukan bagi memastikan pengurusan fail pembayar cukai adalah lebih teratur, cekap dan sentiasa dikemas kini berdasarkan keperluan semasa,” katanya.


Menurut LHDNM, hampir 97,000 fail cukai akan terlibat dengan proses pemusatan dan pemencaran ini.

Katanya, setiap pembayar cukai yang berkenaan akan dimaklumkan secara berperingkat melalui e-mel atau surat bagi pembayar cukai yang tidak mempunyai emel.

Dalam pada itu, LHDNM telah menyenaraikan enam kriteria fail pembayar cukai yang terlibat dengan proses tersebut.

Kriteria pertama membabitkan fail pembayar cukai syarikat di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah perolehan sebenar sekurang-kurangnya RM50 juta setahun.

Manakala kriteria kedua membabitkan fail pembayar cukai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Persekutuan dari seluruh Cawangan LHDNM di Semenanjung Malaysia.

“Ketiga, fail pembayar cukai syarikat yang mempunyai transaksi dengan syarikat berkaitan di luar Malaysia mengikut ambang tertentu.

“Keempat, fail pembayar cukai syarikat yang berkaitan dengan industri huluan atau hiliran petroleum, aktiviti insurans atau takaful dan kewangan.

“Kelima, fail pembayar cukai individu termasuk individu berprofil tinggi dan kriteria keenam membabitkan fail pembayar cukai yang menggunakan poskod 47100 hingga 47190 iaitu di Kinrara dan Puchong,” kata LHDNM.

Semakan notis pemakluman juga boleh dibuat menerusi aplikasi MyTax. — DayakDaily