Suspek pecah kedai alatan perkakasan ditahan

Polis menahan suspek (barisan depan, empat dari kiri) untum siasatan lanjut.

Brad Rantayy

MIRI, 29 Jun : Polis menahan seorang pemuda di Lorong Piasau Utara 3D pada tengahari Isnin kerana disyaki memecah masuk sebuah kedai menjual alatan perkakasan di Piasau Industrial Estate.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 1.20 petang, kurang lima jam selepas kejadian dilaporkan kepada pihak polis.


Beberapa alatan perkakasan dipercayai dicuri, turut ditemui semasa tangkapan dibuat.

Dalam kejadian pada Isnin itu, beberapa alatan perkakasan, termasuk dua paket minum Milo (berat 1kg dan 480gm) turut dilaporkan hilang dipercayai dicuri.

Kejadian disedari pemilik kedai berusia 68 tahun sekitar jam 7 pagi, yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

Difahamkan, kejadian berjaya dirakam CCTV kedai tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. — DayakDaily