Suspek lelaki ditahan berkaitan kes kerosakkan ATM bank di Miri

Rakaman CCTV bank, memaparkan suspek berada di dalam premis berkenaan untuk melakukan transaksi.

MIRI, 2 Jan: Dua mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Merbau di sini  dilaporkan telah rosak selepas banyak kesan air didapati di dalam mesin tersebut pada Khamis lepas (31 Dis).

Difahamkan, kerosakkan melibatkan kerugian sebanyak RM30,000.

Pemeriksan ke atas CCTV bank berkenaan mendapati imej seorang lelaki masuk ke premis sekitar jam 5.40 pagi pada 31 Dis kelihatan menggunakan mesin pertama sebelum beralih ke mesin kedua.

Satu laporan polis telah dibuat dan susulan daripada itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 28 tahun di kawasan kaki lima Jalan Asmara untuk membantu siasatan.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 5.13 petang Khamis lepas.

Difahamkan lelaki tersebut telah pergi ke premis berkenaan dengan tujuan mendepositkan wang tunai berjumlah RM3 (Tiga Ringgit Malaysia) bagi menambah nilai (top-up) judi dalam talian.

Namun, transaksi tersebut gagal.

“Semasa proses melakukan transaksi itu, botol air mineral yang dipegang lelaki tersebut telah terjatuh dan air tertumpah ke dalam mesin ATM,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku masih dalam keadaan khayal akibat pengambilan dadah syabu pada petang sebelum kejadian tersebut.

Siasatan awal juga mendapati suspek terlibat dengan aktiviti pengambilan dadah jenis syabu sejak berusia 16 tahun sehingga sekrang dengan car suntikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. — DayakDaily