Suspek guna pistol mainan samun kedai kek lapis di Samarahan di tangkap

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN, 24 Jun: Seorang lelaki ditangkap selepas disyaki menyamun sebuah kedai kek lapis di Medan Universiti di sini dengan bersenjatakan pistol mainan pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata suspek yang berusia 24 tahun, ditangkap pada jam 5.20 petang semalam di sebuah motel di Jalan Padungan, Kuching.

“Suspek mengaku melakukan samun tersebut seorang diri dengan menggunakan pistol mainan yang dibelinya di sebuah kedai runcit di bandar Kuching.


“Suspek juga mengaku dia di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu pada jam 4.41 petang, 20 Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, semasa kejadian, suspek memakai topi keledar dan pelitup muka dan masuk ke dalam kedai tersebut dan berpura-pura untuk membeli minuman.

“Ketika membayar, suspek mengacukan pistol mainan ke arah juruwang kedai terbabit sambil mengugut meminta wang.

“Setelah mendapat sejumlah wang, suspek terus beredar menaiki motosikal,” katanya.

Sudirman berkata suspek juga didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Malah, katanya, suspek merupakan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang telah tamat tempoh tahanan di kawasan Bintawa pada 17 April lalu.

Sudirman berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan direman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang digunakannya semasa melakukan jenayah tersebut. — DayakDaily