Suspek curi kenderaan dipukul, polis jalan siasatan menyeluruh

PDRM logo

KUCHING, 22 Julai: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan satu video suspek curi kenderaan yang dipukul orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata video berdurasi 2 minit 51 saat itu dikongsi di media sosial menunjukkan seorang lelaki disyaki suspek kes curi kenderaan dipukul.

Katanya, suspek berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada 11 Julai 2022.


“Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kejadian suspek dipukul oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon turut mengingatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang.

“Dimohon juga agar orang ramai tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini yang masih disiasat pihak polis,” katanya. — DayakDaily