Wanita warga emas maut dilanggar ketika melintas jalan

Siasatan dijalankan di lokasi kejadian.

KOTA SAMARAHAN, 22 Julai: Seorang pejalan kaki maut, akibat dilanggar motosikal sebelum dirempuh dirempuh sebuah kereta di Kilometer 16 Jalan Datuk Mohd Musa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata mangsa iaitu seorang wanita berusia 80 tahun semasa kejadian dikatakan melintas jalan untuk membuang sampah sekitar jam 5.03 petang.

Katanya, mangsa dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Batu 7 hendak menuju ke Kota Samarahan.


“Selepas dilanggar motosikal, mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan iaitu arah ke Batu 7 dan dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kota Samarahan menuju ke Batu 7.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Manakala penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily