Suspek curi cedera ringan akibat terjun dalam cubaan melarikan diri

Suspek dibawa ke hospital Miri untuk rawatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Nov: Seorang kaki pecah rumah dan curi, nekad terjun dari tingkat satu tingkap sebuah hotel bajet, dalam cubaan melarikan diri dari pihak polis semalam.

Bagaimanapun suspek, berusia 31 tahun, itu bernasib baik terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada badan selepas terjun dalam kejadian sekitar jam 8.05 malam tadi.


Lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan dan dikhabarkan dalam keadaan stabil.

Dalam serbuan itu juga, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) turut menahan rakan suspek yang berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut.

Menurut siasatan awal, mendapati kedua-dua suspek telah menyewa sebuah bilik di tingkat satu hotel berkenaan yang terletak di Jalan Airport beberapa hari sebelum serbuan.

Salah seorang suspek mempunyai sebanyak empat rekod jenayah melibatkan kes pecah rumah dan curi.

Kes terkini berlaku pada November 25, melibatkan kecurian sebuah telefon bimbit milik seorang wanita.

Pada malam serbuan dilakukan, pihak JSJ telah mengetuk pintu bilik, dan apabila pintu bilik dibuka oleh penghuni dari dalam, pihak polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis.

Namun, suspek kemudiannya bertindak cuba melarikan diri dengan cara terjun melalui tingkap bilik terbuka dan kemudiannya terjatuh di bahagian bawah belakang premis hotel.

Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai dicuri dari suspek, antaranya tiga buah telefon bimbit, sebuah powerbank, sebilah parang dan beg sandang mengandungi peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah masuk dan curi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily