Lelaki dipercayai mengugut bunuh abang ipar dan adiknya ditahan

Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Nov: Gara-gara tidak berpuas hati akibat ditegur kerana selalu membawa kawan-kawannya ke rumah adik ipar di Piasau Jaya, seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai sanggup bertindak mengugut bunuh abang ipar dan adiknya.

Kejadian berlaku pada Selasa lepas sekitar jam 1 pagi di rumah abang ipar suspek.


Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa selepas suspek bertindak agresif dengan memecahkan barang-barang di dalam rumah berkenaan.

Menurut siasatan awal , suspek berasa tidak berpuas hati selepas ditegur abang iparnya supaya todak membawa kawan-kawannya datang ke rumah sesuka hati dan telah mengugut bunuh pengadu.

Bimbang dan merasa takut dengan ugutan tersebut, pengadu telah bertindak membuat laporan polis.

Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek di Piasau Jaya pada petang Khamis sekitar jam 4 petang untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan Jenayah kerana ugutan jenayah. — DayakDaily