DWF Youth Kiosk beri peluang belia Dalat terlibat perniagaan

Fatimah ketika menyertai Program Gotong-royong Perdana Pembersihan Teparok atau Gondok Air di Sungai Oya, Dalat.

DALAT, 28 Nov: Perlaksanaan Dalat Waterfront  (DWF) Youth Kiosk di terbingan Dalat akan memberikan peluang kepada golongan belia di kawasan terbabit untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, DWF Youth Kiosk itu merupakan antara insitiatif kerajaan dalam memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk memperkasakan sosioekonomi mereka.

“Oleh kerana kita sudah merancang ia sebagai tempat peniagaan maka kita telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan segala aktiviti tersebut dijalankan,” katanya ketika berucap pada Program Gotong-royong Perdana Pembersihan Teparok atau Gondok Air di Sungai Oya di sini hari ini.


Beliau berkata, satu jawatankuasa penasihat dan pengurusan yang disertai golongan belia turut ditubuhkan bagi memantau serta mengurus semua aktiviti yang akan dijalankan di kawasan tersebut.

“Kita hendak memberikan kepada belia, dengan kreativiti yang ada pada mereka untuk membolehkan tempat ini satu tarikan bukan sahaja disebabkan ini adalah ikon di kawasan Dalat tetapi juga ianya menjadi tarikkan sebab ada aktiviti yang dijalankan.

“Kita juga cadangkan kepada jawatankuasa pengurusan belia itu mungkin seminggu atau sebulan sekali diadakan aktiviti dengan tema-tema tertentu mengikut kreativiti belia supaya tempat ini sentiasa hidup dan menjadi tarikan,” katanya.

Fatimah melihat sendiri masalah pembiakan teparok atau gondok air pada Program Gotong-royong Perdana Pembersihan Teparok atau Gondok Air.

Fatimah berkata, segala perancangan dan aktiviti yang bakal dilaksanakan itu akan memberikan satu konsep yang bertenaga kepada tempat terbabit sesuai dengan kreativiti yang dimiliki oleh golongan belia.

Ia secara tidak lansung akan menghindarkan golongan tersebut daripada terdedah kepada kegiatan tidak berfaedah seperti aktiviti penyalahgunaan dadah atau masalah sosial yang lain.

Sementara itu, Fatimah berkata,  peruntukan berjumlah RM831,000 telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi projek kecil luar bandar (MRP) bagi kawasan Mukah.

Jelasnya, peruntukan tersebut antara lain adalah bagi kerja-kerja menaik taraf surau, masjid, dewan masjid termasuk membiayai empat projek projek Jawatankuasa Kebajikan Dalat.

“Terbaharu, peruntukan berjumlah RM1.155 juta dibawah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) telah diluluskan bagi melaksanakan semua projek RTP yang telah di cadangkan bagi kawasan Dewan Undang Negeri (DUN) Dalat.

“Antara projek tersebut adalah bagi menaik taraf jalan simen Kampung Medong Seberang dan Jalan  Simen menuju ke Sekolah Kebangsaan Saint Kevin, Sungai Kut Muara serta membina parit konkrit  di Kampung Medong Hulu,” katanya. — DayakDaily