Suri rumah lepas RM2,500 ditipu kekasih FB

Royal Malaysia Police logo

SIBU, Sept 22: Seorang wanita kerugian kira-kira RM2,500 selepas ditipu ‘kekasih gelap’ yang dikenali menerusi laman sosial Facebook (FB) setelah dijanjikan dengan hadiah istimewa.

Suri rumah yang berusia 35 tahun itu dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Amerika Syarikat.

Jurucakap polis berkata, selepas berkenalan lebih seminggu, lelaki warga asing tersebut kemudian menjanjikan akan memberi hadiah kepada wanita berkenaan.


Katanya, warga asing itu kemudian berjanji untuk menghantarnya hadiah tersebut menerusi sebuah ejen kurier.

“Apabila hadiah yang dihantar menerusi kurier itu sampai, lelaki berkenaan kemudian menghantar pesanan kepada wanita tersebut dengan mendakwa barangan yang dihantar melebihi muatan.

“Namun, dia perlu membayar kos sebanyak RM5,100 kerana barangan yang dihantar itu melebihi had berat ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, jurucakap polis menambah, mangsa kemudian bersetuju membayar wang dengan memasukkan wang ke dalam satu akaun yang diarahkan oleh lelaki warga Amerika Syarikat tersebut.

Jelasnya, selepas memasukkan wang sebanyak RM2,500, wanita berkenaan sekali lagi dihubungi lelaki asing tersebut untuk memasukkan wang berjumlah RM2,600.

Bagaimanapun, selepas mengesyaki dirinya ditipu, wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Wanita itu sedar dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati kononnya hadiah yang dikirim oleh lelaki asing tersebut tidak wujud.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.Ā ā€” DayakDaily