Dr Hazland peruntukan RM200,000 bagi RTP di Kampung Semilang

Dr Hazland (tengah) menyepak bola sebagai simbolik perasmian perlawanan akhir Liga Semilang 2018.

KUCHING, Sept 22: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan sebuah padang futsal bersaiz standard yang dilengkapi pelbagai kemudahan di Kampung Semilang, di sini.

Pembinaan padang futsal tersebut adalah di bawah Projek Pembangunan Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut 2018.

ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata pembinaan padang futsal itu dijangka mampu melahirkan para pemain futsal berkaliber sekali gus menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.


Jelasnya, menerusi sukan itu juga dapat mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung serta mengelakkan para belia daripada terjebak ke gejala negatif.

“Saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada RTP DUN Demak Laut 2018 saya bagi pembinaan Padang Futsal Kampung Semilang yang akan dibina di sebelah Dewan Kampung Semilang ini.

“Padang futsal bersaiz standard ini akan dilengkapi dengan pagar, lampu dan tandas.
Dengan adanya kemudahan ini, kita boleh menganjurkan pertandingan futsal dan menghasilkan pemain-pemain futsal yang berkaliber dari Kampung Semilang dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penutupan Liga Bola Sepak Kampung Semilang 2018 di sini.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Semilang Pauzi Ameng, Ketua Ranting PBB Semilang Panyi Han dan Ketua Pemuda PBB Ranting Semilang Mohammad Affandi Bujang.

Dr Hazland (berdiri tengah, pakai baju merah) merakamkan gambar kenangan bersama para pemain perlawanan akhir Liga Semilang 2018.

Sementara itu, Dr Hazland turut mengumumkan kesediaannya untuk menambah peruntukan bagi menaik taraf Padang Bola Sepak Kampung Semilang yang sedia ada kini.

Difahamkan katanya, projek naik taraf Padang Bola Sepak Kampung Semilang itu telah mendapat peruntukan daripada Ahli Parlimen Santubong, tetapi ia tidak mencukupi.

“Apa yang dimaklumkan ketua kaum bahawa peruntukan tersebut tidak mencukupi. Saya meminta perkara ini disemak semula supaya jika ia tidak mencukupi, saya akan tambah peruntukan bagi naik taraf Padang Bola Sepak Kampung Semilang.

“Saya mahu kekalkan padang bola ini supaya ia menjadi besar dan mempunyai saiz yang standard seperti mana padang bola sepak yang sedia ada,” tambahnya.

Mengenai penganjuran Liga Semilang 2018, Dr Hazland mahu penganjuran ia akan dilaksanakan dengan lebih baik lagi dengan penerapan kepada kualiti pengadil.

“Kita bercadang mengadakan kursus pengadil bagi kawasan DUN Demak Laut merangkumi Kampung Semilang, Kampung Beradek, Kampung Tiang Api, Kampung Muara Tebas, Kampung Gobielt, Kampung Senari, Kampung Bako dan sebagainya.

“Sehubungan itu, kita akan meminta setiap kampung menghantar nama-nama mereka yang berminat mengikuti kursus pengadil ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Hj Hazland yakin bahawa Kampung Semilang mampu melahirkan pemain berkualiti dan mewakili Sarawak dan negara pada suatu hari nanti.

“Saya sentiasa menyokong program dan aktiviti yang baik seperti ini berbentuk sukan yang bukan sahaja mengeratkan tali silaturahim di antara penduduk-penduduk kampung, tetapi juga kita boleh beriadah dan meningkatkan skil permainan bola sepak.

“Mana tahu suatu hari, ada pemain yang akan mewakili Sarawak dari Kampung Semilang. Ini tidak mustahil kerana di Kampung Muara Tebas telah menghasilkan beberapa pemain yang kini mewakili Sarawak dan Malaysia,” katanya.Ā ā€” DayakDaily