Guru wanita rugi RM6,500 ditipu suspek yang menyamar sebagai polis

Royal Malaysia Police logo

SIBU, Sept 22: Gara-gara terpedaya dengan panggilan seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota ‘polis’, seorang guru wanita lesap wang sebanyak RM6,500.

Wanita berusia 36 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan telefon dari sebuah “Ibu Pejabat Polis Daerah” kira-kira pukul 9 pagi sebelum dimaklumkan telah terlibat dengan kes jenayah.

Jurucakap polis memberitahu, mangsa mendakwa telah diberitahu oleh suspek mengatakan dia telah terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan mengedar dadah.


Katanya, panik dengan dakwaan kesalahan itu, mangsa kemudian mengikut arahan suspek sebelum dia diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM12,000 bagi tujuan ikat jamin kes berkenaan.

“Wanita berkenaan kemudiannya bersetuju membayar RM6,500 dan memasukkan wang itu ke dalam satu akuan bank yang diarahkan.

“Selepas menghantar resit kemasukan duit itu menerusi telefon bimbit, nombor telefon mangsa telah disekat oleh suspek,” katanya.

Mengulas lanjut, guru berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kesalahan yang dituduh ke atas mangsa sebenarnya tidak wujud.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kanun keseksaan ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya lagi. — DayakDaily