Suri rumah gagalkan cubaan penipuan ‘Macau scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Okt 21: Kelicikan sindiket ‘Macau scam’ yang cuba memperdayakan seorang suri rumah tidak berhasil apabila wanita berkenaan berjaya mengelak daripada menjadi mangsa penipuan terancang itu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, wanita berusia 27 tahun itu dilaporkan telah dihubungi oleh seorang lelaki kononnya sebagai pegawai mahkamah.


Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Hairul Osman (no. jawatan l5733) kemudian bertanyakan nama penuh mangsa.

“Apabila mangsa memberikan nama penuh, suspek terbabit seterusnya memberitahu nombor kad pengenalan mangsa dan alamat tempat tinggal dengan betul.

“Selepas itu, suspek kemudian memberitahu bahawa mangsa mempunyai pinjaman wang sebanyak RM50,000 yang dilakukan pada Ogos 6, 2018 di Hong Leong Bank, Pahang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek tersebut juga telah memberikan nombor rujukan kes kepada mangsa.

Bagaimanapun katanya, mangsa menafikan kepada suspek tersebut bahawa dia tidak pernah membuat pinjaman di Hong Leong Bank.

“Suspek kemudian menyambungkan talian kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan untuk membuat laporan berkenaan maklumat peribadi mangsa telah digunakan oleh pihak yang tidak diketahui.

“Semasa perbualan dengan suspek, mangsa kemudian didakwa ada terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram dan mangsa akan ditahan polis,” katanya.

Mustafa menambah, mangsa yang menyedari ditipu kemudian memutuskan talian sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam kes ini, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian,” ujarnya. — DayakDaily