Sungai Masit di Julau dari jernih bertukar warna perang sekali setahun

Kiri: Ajang menceritakan proses penghasilan lada putih yang melibatkan Sungai Masit. Sungai Masit yang jernih bertukar warna perang pada musim menuailada.
Advertisement

Dikarang Chris Bishop

KUCHING, 1 April: Sungai Masit di Julau bertukar dari jernih ke warna keperangan sekali setahun, ikan pun tiada.

Ia bukan disebabkan isu atau aktiviti pencemaran, tetapi kejadian berlaku akibat satu proses penting dalam penghasilan lada putih.

Advertisement

Menurut seorang penduduk Rh Jalin di Rantau Sungai Masit, Ajang anak Umping, lada mentah (hitam) yang baru dituai kemudiannya disimpan di dalam guni dan direndam di dalam Sungai Masit.

Katanya, ia direndam dengan mengikatnya pada batu dalam tempoh 14 hingga 21 hari.

“Dalam tempoh ini, beratus guni lada milik penduduk kampung akan disusun, direndam di dalam air sungai, sehingga tidak kelihatan dasarnya.

“Air sungai yang jernih bertukar warna keperangan, ikan pun tiada.

“Setiap guni dibezakan oleh pemilik mengikut warna tali pengikat,” kata Ajang yang juga seorang pekebun lada.

Menurut beliau, tempoh 14 hingga 21 hari dipilih bagi menghasilkan lada putih yang berkualiti.

Setelah itu katanya, lada basah tersebut akan dijemur di bawah cahaya matahari sehingga kering sepenuhnya.

“Sungai Masit ini boleh dikatakan penting dalam kehidupan kami sejak dahulu lagi.

“Selain sebagai satu kaedah pengangkutan, ia juga menjana pendapatan bagi seluruh penduduk di kawasan ini.

“Berkebun lada adalah aktiviti utama di sini,” kata Ajang ketika ditemui pada Jumaat lepas. — DayakDaily

Advertisement