Sungai Delok dipenuhi sisa kayu, penduduk mengharap bantuan pihak berwajib

Sisa-sisa kayu yang terapung di Sungai Delok menyukarkan pergerakan penduduk.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Feb: Penduduk di tiga rumah panjang di kawasan Ulu Delok di Batang Ai mengharap bantuan pihak berwajib untuk membersihkan sisa-sisa kayu yang terapung di Sungai Delok.

Menurut seorang penduduk rumah panjang di Nanga Sumpa, masalah tersebut berlaku sejak dua minggu lepas.

Advertisement

“Selain Nanga Sumpa, dua buah rumah panjang yang terlibat ialah Nanga Jambu dan Pala Taong.

“Ia menyukarkan pergerakan kami kerana sungai adalah satu-satunya kaedah pengangkutan.

“Setelah dua minggu, keadaan bertambah baik tetapi sisa-sisa kayu ini harus dikeluarkan daripada sungai,” katanya ketika di hubungi DayakDaily.

Tambah beliau, kejadian sungai yang dipenuhi dengan sisa-sisa kayu adalah disebabkan hujan lebat berterusan yang berlaku dua minggu lepas.

Akibat hujan berterusan, katanya, paras air meningkat dan menyebabkan sisa-sisa kayu diheret ke sungai.

“Masalah ini berlaku mengikut keadaan paras air; jika parasnya tinggi sisa-sisa kayu ini akan bergerak ke hilir.

“Tetapi jika paras air rendah (surut), sisa-sisa kayu ini akan dibawa ke hulu sungai, dan inilah menyukarkan pergerakan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib dan tindakan segera akan diambil. — DayakDaily

Advertisement