Suami maut, isteri dan 4 anak cedera dalam kemalangan di Selangau

Anggota Bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

SELANGAU, 30 April: Seorang lelaki maut manakala isteri dan empat anaknya cedera dalam nahas jalan raya di Batu 9, Jalan Selangau-Mukah hari ini.

Mangsa, berusia 47 tahun, tersebut semasa kejadian memandu kereta bersama isteri dan anak-anaknya apabila dikatakan berlanggar dengan sebuah lori.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.22 pagi tadi.

Advertisement

“Pihak Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas mengeluarkan penandu serta dua penumpang kereta yang tersepit, manakala tiga lagi penumpang dikeluarkan oleh orang awam sebelum Bomba tiba di lokasi.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta meninggal dunia dan kesemua penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Selangau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.35 pagi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. — DayakDaily

Advertisement