STU gesa penambahbaik infrastruktur sekolah daif di Sarawak dilaksana dengan serius

Kullin Djayang

KUCHING, 8 Okt: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa peruntukan RM1.2 bilion melalui Bajet 2023 bagi menambahbaik infrastruktur sekolah daif di Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan serius.

Presidennya Kullin Djayang berharap isu sekolah daif akan diselesaikan sepenuhnya dengan segera.

“Ini termasuk RM1.1 bilion untuk membaiki dan menyelenggara semua sekolah, termasuk sekolah vernakular dan sekolah agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Kullin, dengan peruntukan keseluruhan RM55.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan, ia akan meringankan beban keluarga khususnya yang ada ramai anak bersekolah.

Katanya, semua pelajar akan menerima RM150 dalam bantuan awal persekolahan tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa.

“Sebanyak RM777 juta Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan memanfaatkan 800,000 pelajar dan 7,300 pengusaha kantin.

“Ini sangat dialu-alukan memandangkan harga bahan mentah semakin melonjak naik pada masa sekarang.

“Peruntukan RM2.3 bilion pula telah disediakan untuk memastikan pelajar mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat.

“STU berharap perincian perbelanjaan ini nanti dimaklumkan secara telus kepada PIBG,” ujarnya.

Selain itu jelas Kullin, STU berharap agar peruntukan ini juga akan mengambil kira capaian Internet di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut beliau, kini capaian internet memang lemah dan kadang kadang langsung tiada internet bila cuaca buruk atau bekalan elektrik terputus.

Justeru katanya, perkara seperti ini harus dipandang serius agar tidak mengganggu pembelajaran secara online dan ativiti serta pertandingan secara online sedang berlangsung.

Dalam pada itu Kullin berharap peruntukan RM430 juta untuk pembinaan lima sekolah baharu di Sabah, Sarawak, Terengganu, Cyberjaya dan Selangor akan menjadi kenyataan.

“Sebagai kesatuan Guru yang berasal dari Sarawak, STU sangat menghargai cadangan kerajaan dan berharap projek ini akan dipantau dengan teliti agar tidak menjadi projek sakit atau terbengkalai.

“Kita sangat memerlukan sekolah-sekolah baharu kerana terdapat sekolah yang terlalu penuh dan sesak,” ujarnya. ā€” DayakDaily