Slipper Orchid, Periuk Kera antara keunikkan Gunung Tabai

Gunung Tabai adalah kawasan larangan dan merupakan Taman Negara.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 26 Mac: Penemuan spesis orkid hutan iaitu ‘Slipper Orchid’ dan beberapa spesis Periuk Kera menjadi antara sebab kawasan Gunung Tabai di gazetkan sebagai sebahagian daripada kawasan Taman Negara Dered Krian.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata penemuan spesis terbabit juga turut mendorong kerajaan Sarawak untuk menamatkan lesen perlombongan kuari di kawasan itu pada 2003.


“Apa yang unik berkenaan Gunung Tabai ini adalah terdapatnya spesis ‘Slipper Orchid’ dan Periuk Kera selain ia bersambung dan berkait rapat dengan Gua Angin yang berada di kawasan Taman Negara Dered Krian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Taman Bukit Siol disini hari ini.

Beliau berkata, insiden mangsa tertimbus di dalam lubang Gunung Tabai berkemungkinan disebabkan mereka tidak mengetahui bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan larangan.

“Kemungkinan terdapat emas dalam jumlah yang kecil sahaja sebab itu jika terdapat emas, pengoperasi lesen yang menjalankan aktiviti perlombongan kuari di kawasan itu pasti akan melombongnya.

“Ianya (emas) adalah dalam jumlah yang sangat sikit dan dalam minggu ini, terbaharu tiga hari lepas, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah meletakan papan tanda agar semua orang tahu bahawa kawasan tersebut adalah kawasan larangan,” katanya.

Tambah Len Talif, fokus ketika ini adalah untuk menyedarkan penduduk setempat mengenai bahaya di kawasan gunung itu agar insiden yang tidak diingini berlaku dimasa hadapan.

Katanya, tindakkan undang-undang hanya akan diambil selepas segala usaha berkaitan termasuk program pendidikan tentang kawasan terbabit di lakukan.

“Apa yang kita lakukan selepas ini adalah melaksanakan program pendidikan dengan memberitahu penduduk setempat bahawa kawasan tersebut agak berbahaya untuk sebarang aktiviti perlombongan selain tiada terdapat emas di kawasan gunung tersebut,” katanya.

Tambah Len Talif, ketika tiada perancangan untuk meletakan renjer hutan dikawasan terbabit, sebaliknya pihak pengurusan taman negara akan meletakkan papan tanda bagi memberitahu orang ramai bahawa kawasan tersebut adalah kawasan larangan.

Katanya, pihak pengurusan Taman Negara akan mencari kaedah bersesuaian untuk menjaga kawasan gunung itu daripada diceroboh termasuk menggunakan khidmat renjer kerhormat yang dianggotai oleh penduduk setempat.

“Perkara pertama, kita mesti beritahu mereka, dan kita perlu berikan kesedaran kepada mereka (penduduk setempat) barulah selepas itu kita akan mengambil tindakkan undang-undang berkaitan,” katanya.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, seorang lelaki disahkan maut selepas tertimbus dan dihempap batu ketika melombong emas di kawasan Gunung Tabai.

Insiden itu merupada insiden serupa yang ketiga berlaku di kawasan gunung tersebut selepas insiden pertama dan kedua berlaku pada 2011. — DayakDaily