TELANG USAN, 15 Mac: SJK(C) Kee Tee di Long Lama himpunkan murid sekolah rendah dari lebih 20 suku kaum.
Menurut Penghulu Desmond Yap, walaupun ia sekolah Cina, namun 80 peratus muridnya adalah golongan Bumiputera.
Katanya, baki 20 peratus yang dalam kategori Cina pun bukan Cina tulen.
“Disebabkan ia sekolah cina, maka hampir keseluruhan murid-murid boleh bertutur Bahasa Mandarin.
“Ia adalah bagus bagi murid-murid, mereka menguasai lebih dari satu bahasa.
“Jika mereka ini boleh menguasai Bahasa English dan Melayu ditambah Mandarin, maka mereka ini senang mendapat pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Pekan Long Lama pada Selasa lepas.
Tambah Desmond, bukan sahaja murid sekolah unik, penduduk tempatan juga memahami antara satu sama lain.
Katanya, masyarakat Cina turut fasih berbahasa Kayan, Kenyah, Iban dan lain-lain.
“Maka jangan tengok sekolah ini kecil, ia memainkan peranan penting dalam menyatupadukan penduduk pelbagai kaum di Ulu Baram,” katanya.
Justeru tambah Desmond, dengan kebolehan menguasai banyak bahasa, mereka yang bersekolah di SJK(C) Kee Tee telah berjaya dalam kehidupan.
Katanya, ada diantara mereka kini bekerja di Singapura, Australia dan negara negara di Eropah. — DayakDaily