Sistem pendidikan Malaysia harus utamakan keperluan IR4.0, kata Abang Johari

Abang Johari menunjukkan modul Block Pandelela P’Residence pada Majlis Penyerahan Unit Apartment kepada Pandelela.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Jan: Sistem pendidikan seharusnya mengutamakan usaha melengkapkan pelajar-pelajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, keperluan dan kemahiran itu penting kerana ekonomi global pada masa kini sedang menuju ke era IR4.0.


“Malaysia seharusnya melatih rakyatnya dengan keperluan dan kemahiran untuk memenuhi permintaan IR4.0. Pada pendapat saya, matapelajaran matematik, sains dan bahasa sangat penting, maka polisi pendidikan kita harus mengutamakan bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Unit Apartment P’Residence, Batu Kawah, kepada ratu terjun negara Pandelela Rinong, yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik, di sini hari ini.

Terdahulu beliau diajukan pertanyaan berhubung bentuk polisi yang harus digunapakai kementerian pendidikan berikutan pengumuman perletakan jawatan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Tambah beliau lagi, kementerian pendidikan merupakan kementerian yang sangat penting dan harus memiliki visi dan arah tujuan yang jelas.

Katanya, apabila arah tujuan ini telah dikenal pasti, maka latihan haruslah dilaksanakan untuk memenuhi keperluan dan permintaan.

“Bagi Sarawak, kita akan menubuhkan lima sekolah antarabangsa yang juga menyediakan silibus antarabangsa.

“Ini memberi peluang kepada rakyat negeri ini untuk menentukan masa depan dan inilah yang seharusnya dilakukan. Bukannya beri tumpuan kepada perkara remeh seperti tulisan jawi,” kata Abang Johari.

Berhubung perletakan jawatan Maszlee, beliau berkata menteri pendidikan tersebut telah memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri berkenaan mekanisme yang harus digunapakai untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak.

Katanya, melalui perbincangan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan cadangan iaitu kerajaan negeri membuat pembayaran pendahuluan sebagai penyelesaian segera kepada isu tersebut.

Maszlee pada Khamis lepas mengumumkan perletakan jawatan yang berkuatkuasa 3 Januari, 2020, setelah 20 bulan mengemudi Kementerian Pendidikan. — DayakDaily