‘Sila berfikir sebelum berkata’, Fazzrudin nasihati Guan Eng

File pic of Fazzrudin fielding questions from the press at the DUN media centre.

KUCHING, 22 Jun: Kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tentang ekonomi Sarawak jelas menunjukkan betapa betul tanggapan rakyat sekarang bahawa rata-rata menteri Pakatan Harapan (PH) dibawah paras bijak.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman, berkata mereka ini masih dalam “mode” pembangkang dan lupa bahawa mereka adalah pemerintah Kerajaan Persekutuan.

“Setiap kenyataan masih bersifat politik dan bercakap tanpa fakta yang jelas bagi mengelirukan rakyat serta berniat jahat.


“Kenyataan LGE (Lim) ini tidak bertanggungjawab kerana sebagai menteri, kenyataan beliau adalah pendirian kerajaan. Kenyataan sebegini akan mengakibat kesan negatif terhadap pelabur-pelabur, ekonomi negara dan ekonomi Sarawak,” ujar Fazzrudin dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu juga bertanya sama ada beliau (Lim) lupa antara punca pendapatan negara yang digunakan untuk membangunkan negeri-negeri semenanjung adalah dari hasil minyak Sarawak.

“Jika Sarawak bankrap, apa akan terjadi kepada Malaysia?” soal Fazzruddin sebagai bertindak balas dengan kenyataan Menteri Kewangan itu semalam.

Beliau menjelaskan bahawa Sarawak antara negeri yang mempunyai rizab yang tinggi hasil dari kebijaksanaan pimpinan Sarawak dan negeri inilah yang banyak menyumbang kepada pembangunan yang dinikmati di Semenanjung Malaysia.

Fazzruddin berpandangan bahawa kenyataan ini adalah kurang bijak, di mana menteri tersebut seakan-akan tidak mengambil kira punca pendapatan Sarawak yang lain.

“Adakah beliau tidak memeriksa fakta dahulu sebelum bersuara. Adakah beliau lupa kerana disebabkan oleh mulut celupar beliau, pelbagai masalah pelaburan dan bursa saham kita menjunam,” tanya beliau lagi.

Tambahnya: “Janganlah ada mata, buta melihat, ada telinga, bengal untuk mendengar dan ada mulut tapi celupar dan sengaja tidak faham inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menjana pendapatan.”

Fazzrudin menasihati Lim agar berhenti berpolitik dengan akal pendek dan fokus kepada membangunkan negara dan negeri serta melaksanakan janji pilihanraya yang lepas.

Sebagai Menteri Kewangan, beliau bertanggungjawab bukan sahaja kepada negeri pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tetapi seluruh Malaysia.

“Baliklah ke semenanjung dan fokus kepada mentadbir urus negara. Jika tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu, maka lepaskanlah jawatan tersebut,” katanya.

Di majlis makan malam DAP di sini, semalam, Lim mengingatkan rakyat Sarawak bahawa negeri tersebut mungkin bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Lim berkata, dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa tiga tahun. — DayakDaily