Majlis “Ngiling Bidai” medan terbaik untuk promosi budaya Dayak

Jugah (dua kiri) melakukan upacara “Ngiling Bidai” dan dibantu oleh ketua masyarakat yang hadir di Rh Milai.

LUBOK ANTU, 22 Jun: Majlis seperti “Ngiling Bidai” adalah medan terbaik untuk mempromosikan budaya Dayak yang terkenal dengan keunikan budaya yang diwarisi turun-temurun daripada generasi terdahulu.

Ahli Parlimen Lubok Antyu Jugah Muyang berkata Sarawak cukup bertuah kerana apa sahaja perayaan dapat disambut dengan meriah, bukan sahaja oleh kaum yang menyambut, malah oleh kaum lain.

Suasana perayaan “Ngiling Bidai” tidak jauh berbeza apabila semua lapisan masyarakat turut dijemput memeriahkan penutupan sambutan Gawai, katanya.

“Sehubungan dengan itu, jika kita mahu melihat semangat toleransi, perpaduan yang sebenar dan tulen boleh didapati di Sarawak,” jelas beliau sempena Majlis Ngiling Bidai Rh Milai, Panggang Lubok Antu, semalam.

Di majlis tersebut, Jugah turut menyumbangkan geran sebanyak RM100,000 kepada Rh Milai untuk membaikpulih rumah panjang dan RM15,000 kepada JKKK Rh Milai untuk membangunkan aktiviti penduduk rumah panjang.

“Kerajaan persekutuan sentiasa memberi kemudahan terbaik untuk rakyat agar dapat bersama menikmati kemajuan dan pembangunan yang dirancang seterusnya mampu yang dapat menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

“Sementara itu, adalah menjadi tanggungjawab ketua masyarakat memastikan isu dan kebajikan rakyat dipelihara termasuk membantu kerajaan mengekalkan perpaduan sedia ada,” katanya.

Jugah menasihati penduduk rumah panjang untuk melihat kepada kerangka yang lebih besar, tanpa mengira idealogi politik, untuk berganding bahu dan bekerjasama ke arah perlaksanaan pembangunan di kawasan Lubok Antu, supaya bebas daripada statistik dalam 10 daerah termiskin di Malaysia.

Dia menjelaskan juga bahawa perbezaan fahaman politik sewajarnya diketepikan dan titik persefahaman perlu dicapai demi merealisasikan matlamat ini.

“Ini terbukti kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) mampu membawa dan menyalurkan pembangunan apatah lagi kita kini menumpukan pembangunan di luar bandar yang masih ketinggalan berbanding di bandar,” kata Jugah.

Beliau turut gembira dengan kehadiran di majlis tersebut, yang dilihart sebagai tanda bahawa rakyat telah menghantar mesej penting dengan harapan mahukan perubahan dan pembangunan di kawasan mereka.

“Saya akan melakukan yang terbaik membalas mandat kepercayaan mereka,” ujar beliau.

Majlis yang berlangsung sederhana namun cukup meriah dengan diselitkan pelbagai aktiviti santai telah menarik lebih 300 tetamu dari sekitar Rh Milai, Lubok Antu. — DayakDaily