Setakat 18 Januari 2020, 186 wabak jangkitan saluran pernafasan dikesan di seluruh negara

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, JAN 22: Jumlah kumulatif wabak jangkitan salur pernafasan yang dilaporkan pada tahun ini sehingga 18 Januari 2020 adalah sebanyak 186 wabak, berbanding 11 wabak yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media semalam berkata bagi minggu kedua tahun 2020 yang berakhir pada 11 Januari, kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) adalah 4.02 peratus.

Katanya, kes ILI menunjukkan peningkatan berbanding 3.73 peratus yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 3.88 peratus yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.


“Kadar kemasukan kes SARI ke wad pula adalah 5.23 peratus, iaitu peningkatan berbanding 4.92 peratus yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 4.60 peratus yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,’katanya.

Tambah Noor Hisham, majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre(CPRC) Kebangsaan, KKM untuk tiga minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan.

Menurut beliau, antara faktor penyumbang kepada situasi ini adalah penularan virus influenza yang mudah berlaku di tempat padat seperti di sekolah, di mana murid-murid bergaul rapat sesama mereka sepanjang sesi persekolahan.

“Namun, KKM ingin menegaskan bahawa kesemua wabak yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan telah dilaksanakan,’katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata setakat ini hanya dua buah sekolah sahaja ditutup akibat penularan jangkitan influenza.

Kedua-dua sekolah ialah Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak (mulai 11-19 Januari 2020) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru, Sabah (mulai 22-28 Januari 2020).

Manakala penutupan kelas pula dilaksanakan oleh tiga buah sekolah di Pulau Pinang; yang setiap satu daripadanya melibatkan pelbagai tempoh masa yang berlainan antara satu dengan yang lain.DayakDaily