Sesi penilaian Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan berlangsung 19-22 Januari 2022

Tanjung Tgok Santubong

KUCHING, 17 Jan: Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan Sarawak Delta Geopark (SDGp) diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan dalam tahun 2022.

Menurut Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Len Talif Salleh, geopark adalah kawasan yang mempunyai tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara mampan.

Justeru katanya, sesi penilaian Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan akan bermula pada 19 hingga 21 Januari 2022.


“Penilaian akan dilaksanakan oleh panel penilai serta pemerhati dari Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan.

“Selain daripada sesi taklimat, para panel turut melawat ke kawasan geotapak, biotapak dan juga tapak warisan di Kampung Budaya Sarawak dan Tg Tgok Santubong, Taman Negara Kuching Wetlands, Taman Negara Bako serta ke Tasik Biru dan tapak budaya Bung Jagoi di Bau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Len, sesebuah geopark mempunyai unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya.

Tujuan geopark katanya adalah bagi menyediakan mekanisme pembangunan untuk pembangunan wilayah secara bersepadu yang merangkumi pemeliharaan warisan alam semulajadi, pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti berasaskan sumber-sumber warisan geologi.

“Oleh itu pemilihan Sarawak Delta sebagai geopark adalah sangat bertepatan kerana kawasan berkenaan menepati ciri-ciri sebuah geopark di mana kawasan berkenaan mempunyai warisan geologi, dan geobudaya.

“Kawasan Sarawak Delta memiliki banyak ciri geologi dan geomorfologi yang luar biasa dengan nilai geoheritage yang tinggi,” ujar beliau.

Cadangan untuk mendapat pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya UNESCO Global Geopark telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada November 2019.

Ia telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 9 April 2021 di Kampung Budaya Sarawak, Kuching.

SDGp yang berkeluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan air mewakili kesatuan warisan geologi, biologi dan budaya istimewa yang terdapat di Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Kecil Padawan dan juga Daerah Kecil Siburan. — DayakDaily