Banjir di Sarawak semakin pulih, jumlah mangsa menurun

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak membantu menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir.

KUCHING, Feb 10: Bencana banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara turun kepada 1,012 mangsa hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, kesemua mangsa yang masih berada di tiga pusat pemindahan banjir itu melibatkan 206 keluarga.

Katanya, terdapat tiga bahagian yang masih terjejas dengan bencana itu iaitu Sibu, Mukah dan Bintulu.


“Bintulu merekodkan jumlah paling ramai mangsa iaitu 602 orang, diikuti Sibu (382) dan Mukah (28).

“Kita juga dimaklumkan kesemua pusat pemindahan banjir berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, bencana tersebut juga mengakibatkan 16 buah klinik kesihatan terjejas dengan empat buah ditutup akibat kawasan klinik dinaiki air banjir.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga melaporkan 43 sekolah ditutup dan dua daripada digunakan sebagai pusat pemindahan banjir,” ujarnya lagi. — DayakDaily