Seramai 291 penduduk Kg Sagah jalani ACD kali kedua

Penduduk sebuah kampung menjalani ACD dalam fail foto ini.

KUCHING, 12 Mei: Seramai 291 penduduk Kampung Sagah di Jalan Sungai Tengah Matang di Bau tampil menjalani ujian saringan Covid-19 dalam operasi pengesanan kes aktif (ACD) semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ACD kali kedua di kampung itu dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bau di Dewan
Kampung Sagah bermula dari pukul 8 pagi sehingga 1 petang.

Operasi melibatkan seramai 25 petugas kesihatan iaitu 15 orang dari PKD Bau dan 10 orang lagi dari PKD Kuching.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Sagah bermula 30 April hingga 13 Mei ini. — DayakDaily