Abang Johari: PRN12 tidak akan diadakan selagi pandemik Covid-19 tidak reda

Chief Minister Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg and wife Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang sending their Hari Raya greetings.

KUCHING, 12 Mei: Sarawak tidak akan mengadakan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) selagi pandemik Covid-19 di negeri ini tidak reda.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa PRN12 hanya akan diadakan jika keadaan mengizinkan.

“Setakat ini Covid-19 telah mengorbankan banyak nyawa di Sarawak. Harga setiap nyawa tidak dapat dinilai.


“Oleh itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi Covid-19.

“Perkara-perkara lain seperti pilihanraya negeri boleh dikemudiankan sehingga keadaan mengizinkan,” katanya pada Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021 yang bakal disambut esok.

Jelas Abang Johari, ketika ini dunia mengalami peningkatan jangkitan secara mendadak sekali lagi dan Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengekang jangkitan.

Di samping itu katanya, Sarawak juga melaksanakan program imunisasi kepada 2.08 juta rakyat yang layak menerima vaksin.

“Saya menyeru agar semua rakyat Sarawak yang layak diberi vaksin untuk mendaftar bagi pemberian vaksin samada melalui aplikasi MySejahtera atau kaedah-kaedah lain di tempat masing-masing,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi.

Katanya, ini termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri dari pembekal supaya program imunisasi di negeri ini mampu diselesaikan menjelang Ogos hadapan.

“Kerajaan Negeri juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital-hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin untuk mempercepatkan proses imuninasi khususnya di kawasan bandar,” kata Abang Johari. — DayakDaily