Brad Rantayy
MIRI, 5 Nov: Misteri panggilan telefon tidak berjawab sejak Isnin (2 November) akhirnya terungkai apabila wanita warga tempatan ditemui mati dalam kamar tidur di sebuah rumah di Riam pagi ini (Khamis, 5 November).
Sebelum itu, rakan mangsa dan juga pengurus tempat dia bekerja telah beberapa kali menghubunginya, namun tidak dijawab, sehingga menimbulkan kebimbangan.
Mangsa yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat luar pesisir pantai di Jalan Cahaya dilaporkan tidak turun ke tempat kerja sejak Isnin kerana berehat cuti sakit dan sepatutnya bermula kerja hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, rakannya pergi ke rumah mangsa pada pagi Khamis, sekitar jam 9.30 pagi.
Namun, pagar dan pintu utama rumah mangsa dikunci dari dalam.
“Setibanya mereka di rumah itu, rakan mangsa berasa hairan sebab kereta mangsa masih kelihatan parking di dalam kawasan rumahnya, kerana bimbang terhadap keselamatan mangsa, mereka telah memanggil pihak polis untuk bantuan,” ujar Lim.
Pihak bomba dari Balai Lopeng turut dimaklumkan untuk ke lokasi bagi membantu membuka pagar dan pintu utama rumah mangsa.
Mangsa berusia 54 tahun itu ditemui terbaring di dalam bilik tidurnya dan siasatan awal mendapati tidak ada unsur-unsur jenayah terhadap kematian mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dibawa hospital Miri untuk proses bedah siasat. — DayakDaily