Seorang penunggang motosikal ditangkap dalam keadaan bogel di Batu Kawa

Suspek berbogel semasa disoal siasat polis.

KUCHING, 9 Julai: Berbogel dan bertindak agresif menyebabkan seorang penunggang motosikal ditangkap dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Batu Kawa, di sini hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai mabuk cuba merempuh SJR tersebut sekitar jam 9.38 pagi.

Tindakannya itu menyebabkan anggota polis bersama Rela yang cuba menahannya hampir dilanggar olehnya.


Ekoran itu, anggota polis terpaksa menendang tayar hadapan motosikal menyebabkan suspek terjatuh.

Suspek yang mengalami kecederaan di tangan kanannya kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Tindakan selanjutnya, pihak polis akan menahan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Keluarga suspek yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut memberitahu suspek juga ada mengalami masalah mental.

Bagaimanapun, siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily