Penunggang motosikal maut akibat kemalangan di Jalan Mukah-Balingian

Lokasi kemalangan.

MUKAH, 28 April: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Mukah-Balingian di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak SUPT Bingkok John berkata, kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 7.35 pagi.

Katanya mangsa yang berusia 78 tahun dari Kampung Penakub Hilir, Mukah semasa kejadian menunggang motosikal dari arah pusat bandar.


“Kemalangan berlaku apabila mangsa yang bergerak lurus dari arah pusat bandar dan hendak memasuki simpang ke kebunnya di kanan jalan raya telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah 4WD.

“Akibat dari itu, mangsa tercampak ke tepi jalan dab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu pemandu berusia 27 tahun telah ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk tindakan lanjut manakala kenderaan dibawa ke Balai Trafik IPD Mukah.

Polis turut mencari saksi untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily