Tiga penunggang motosikal ditahan, teruja menguji kelajuan di Bintulu

Gambar komposit ketiga-tiga yang ditahan dalam operasi tersebut.

BINTULU, 21 Jun: Tiga penunggang motosikal ditahan selepas dipercayai masing-masing menguji kelajuan motosikal mereka di Jalan Paragon, di sini semalam.

Menurut Facebook PDRM Bintulu, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan selepas dikesan anggota operasi ‘Op Samseng Jalanan’ melakukan aksi menunduk di atas motosikal dan menunggang secara merbahaya.

Pasukan operasi terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu kemudian bertindak menahan mereka kerana dikhuatiri membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.


Ketiga-tiga motosikal suspek juga disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.

Selain itu, sebanyak 10 buah motosikal lagi turut disita di bawah Seksyen 60 APJ 1987 atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 75 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan sepanjang operasi yang bermula dari jam 7.30 malam Ahad hingga 2 pagi semalam. — DayakDaily