Sebar video bogel teman wanita, remaja lelaki dicekup polis

Suspek (tengah) dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri sebaik sahaja tiba di Bandaraya Miri dari Kuala Lumpur pada Rabu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 April: Perbuatan seorang remaja lelaki dari Kuala Lumpur menyebarkan video bogel teman wanitanya yang berasal dari Miri melalui satu akaun Instagram baru-baru ini membawa padah, apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Suspek berusia 17 tahun itu ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri diketuai DSP Loh Wooi Kee bersama beberapa pegawai dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman pada Rabu sekitar jam 9 pagi di kediamannya di Taman Seri Keramat Tengah, Kuala Lumpur, susulan menerima laporan ibu mangsa berhubung kejadian.


Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Difahamkan, kejadian disedari sekitar pertengahan bulan Mac yang lepas oleh ibu mangsa.

Motif tindakan suspek menyebarkan video mangsa yang berusia di bawah 12 tahun itu masih dalam siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dibawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.— DayakDaily