Seorang lelaki ditangkap, terlibat kes gaduh masalah rumah tangga

Gambar komposit menunjukkan suspek dan barang-barang yang dirampas.

KUCHING, 20 Nov: Gaduh disebabkan masalah rumah tangga, menyebabkan seorang lelaki parah diserang menggunakan parang panjang dan kayu golf.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 27 Sept lalu di Kota Sentosa sekitar jam 3.15 pagi.

Katanya, mangsa yang berusia lewat 40an didatangi beberapa orang lelaki yang kemudian bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala serta badan.


Laporan polis telah dibuat selepas itu dan seorang daripada suspek yang berusia 30 tahun berjaya ditangkap di Bandar Baru Batu Kawa pada 18 November sekitar jam 4.30 petang.

“Seorang lelaki tempatan ditangkap dan berapa barangan telah dirampas daripada suspek termasuk motosikal, telefon bimbit serta taji ayam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya juga, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah dan tiga kesalahan jenayah.

“Semakan ke atas motosikal yang dirampas juga mempunyai rekod hilang,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan sedang giat mengesan suspek yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233,” katanya. — DayakDaily