Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas disyaki miliki dadah

Dadah jenis syabu dan pil ekstasi yang dirampas di MJC, Courtyard Sanctuary Apartment Batu Kawa.

KUCHING, Jun 22: Seorang lelaki berdepan hukuman mati jika didapati bersalah selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan pil ekstasi dalam satu serbuan polis di MJC, Courtyard Sanctuary Apartment Batu Kawa di sini semalam.

Suspek berusia 26 tahun tersebut ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 11.30 pagi.

Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd. Latif berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis telah menahan suspek di kawasan parkir MJC Courtyard Sanctuary Apartment, Batu Kawa.


Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai satu ‘touch card’ bersama serangkai anak kunci rumah dalam poket hadapan bajunya.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan telah pergi ke rumah suspek di alamat MJC Courtyard Apartment,Batu Kawa dan telah berjaya membuka pintu rumah tersebut dengan menggunakan ‘touch card’ dan kunci yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Polis turut menemui satu kotak bertulis ‘Panasonic Hair Dryer’ dan di dalamnya mengandungi plastik lutsinar mengandungi
(9) paket plastik lutsinar, masing-masing berisi (500) biji pil ekstasi; (3) paket plastik lutsinar , masing-masing berisi (100) biji pil ekstasi (2) paket plastik lutsinar, masing-masing berisi (99) biji pil ekstasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, jumlah keseluruhan pil ekstasi yang dirampas ialah sebanyak 4, 980 biji, manakala syabu yang dirampas seberat 535 gram.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut berjumlah RM257,025 iaitu syabu sebanyak RM80,250 dan pil ekstasi sebanyak RM249,000.

“Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM4,037, sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan anggaran nilai semasa RM60,000,
sebentuk cincin emas dengan anggaran nilai RM4,194 dan sepasang anting-anting dengan nilai RM1,362 daripada suspek.

“Laporan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya. —DayakDaily