APMM Sarawak tahan dua vesel nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Kelihatan kru-kru nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM Sarawak.

KUCHING, Jun 22: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan dua vesel nelayan warga Vietnam selepas disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara di kedudukan 65 Batu Nautika dari Tanjung Sirik, Sarikei pada Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Sarawak, Kepten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, seramai 20 orang awak-awak dan tekong kesemuanya warga Vietnam telah ditahan dalam operasi tersebut.

Katanya, kesemua warga Vietnam yang ditahan pada pukul 9 malam itu berusia antara 16 hingga 55 tahun.


“Kedua-dua vesel tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan APMM menahan kedua-dua vesel tersebut untuk diperiksa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa vesel tersebut adalah bot samaran yang mempunyai nombor pendaftaran nelayan tempatan palsu.

“Tidak cukup dengan itu, vesel berkenaan juga tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis untuk menangkap ikan di dalam perairan negara,” katanya di sini hari ini.

Inilah vesel nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM Sarawak.

Robert menambah, pemeriksaan juga mendapati kesemua kru nelayan asing berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kedua-dua vesel nelayan itu kemudian disita dan dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kami juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544,” ujarnya lagi. —DayakDaily